Projek Berkumpulan : Buku Audio
Laporan Akademik
Tajuk buku audio : “Tongkat”
Pensyarah : Dr Noraini Ibrahim
Nama : Farah Alwani Bt Mohd Nazri
No Matrik : 100934
Tarikh : 8 April 2011



Pengenalan :
Projek buku audio ini dianggotai seramai tiga orang ahli iaitu saya, Farah Alwani, Chung Wei Ru dan Siti Nurul Ain. Kami telah menggunakan sebuah buku cerita yang bertajuk ‘The Walking Stick’ hasil karya Winston Graham yang diterjemahkan sebagai ‘Tongkat’. Buku ini dipilih kerana ceritanya yang menarik di samping banyak isu yang boleh dibincangkan terutamanya berkaitan dengan pemilihan kata dan budaya orang Inggeris yang digunakan. Oleh sebab buku ini asalnya dalam bahasa Inggeris, maka banyak perbincangan yang boleh dilakukan semasa melakukan terjemahan ke dalam bahasa sasaran, iaitu bahasa Melayu. Genre buku cerita ini ialah dramatik. Buku cerita ‘Tongkat’ ini ditujukan kepada pembaca umum. Sinopsis buku audio ‘Tongkat’ ini mengisahkan cerita tentang seorang gadis yang bernama Deborah, mempunyai kaki yang tempang sejak dilahirkan, dan perlu menggunakan tongkat semasa berjalan. Semua ahli keluarganya terlibat dalam pekerjaan yang berkaitan perubatan kecuali Deborah. Kehidupannya berubah setelah dia menemui seorang jejaka yang bernama Leigh Hartley, dan mereka bercinta, buat kali pertama dalam hidupnya, Deborah berasa amat gembira. Namun sebenarnya Leigh mempunyai niat jahat atau ada udang di sebalik batu.

Objektif :
  • Menggunakan kaedah terjemahan yang sesuai mengikut konteks buku
  • Melihat masalah yang timbul semasa melakukan terjemahan
  • Penggunaan strategi yang sesuai bagi mengatasi masalah
  • Penggunaan perisian atau aplikasi yang sesuai dalam menghasilkan buku audio

Kaedah :
Saya telah menggunakan pendekatan gabungan semantik dan komunikatif yang diperkenalkan oleh Peter Newmark (1988) semasa melakukan terjemahan buku cerita ini. Kedua-dua pendekatan ini digunakan secara serentak dalam menangani seluruh teks sumber. Hal ini bertujuan untuk memastikan maklumat asal dapat disampaikan kepada pembaca sasaran sebaik yang mungkin dengan gaya terjemahan yang bersifat mesra pembaca sasaran.

Langkah-langkah yang dilakukan semasa penghasilan buku audio :
  1. Melakukan proses terjemahan buku cerita yang diingini
  2. Menyemak terjemahan yang dilakukan
  3. Merekodkan suara yang bersesuaian dengan intonasi dan watak dalam cerita
  4. Melakukan buku audio dengan menggunakan perisian Window Movie Maker
  5. Memasukkan suara, gambar dan muzik latar belakang yang bersesuaian
  6. Melakukan proses penyemakan yang terakhir


Masalah Bukan Teknikal
Antara masalah yang timbul ialah mencari padanan kata. Contohnya, perkataan Sotheby’s dalam konteks ini merujuk tempat di London dan New York yang menjual barangan lama, antik dan berharga secara lelongan. Jadi saya telah menggunakan pendekatan deskriptif iaitu dengan memberi penerangan supaya pembaca sasaran dapat mengetahui maksud sebenar perkataan tersebut. Contoh yang kedua ialah perkataan ‘tube’. Dalam cerita ‘Tongkat’ ini, perkataan ‘tube’ merujuk kereta api bawah tanah tetapi dalam konteks pembaca sasaran, kita tidak mempunyai kereta api bawah tanah ataupun ‘subway’. Di Malaysia, kita cuma mempunyai monorel atau LRT sahaja. Kereta api bawah tanah ini banyak terdapat di kota raya London dan merupakan perkhidmatan yang penting bagi penduduk di sana. Contoh ketiga ialah perkataan ‘brass plate’ yang bermaksud plat loyang. Namun saya telah terjemahkan kepada ‘plat nama’ kerana lebih tepat dengan maksud sebenar yang ingin disampaikan iaitu plat nama yang diletakkan di tiang sesebuah rumah dengan tertera nama pemilik kediaman tersebut. Contoh dalam teks ini ialah plat nama yang tertera nama bapa kepada Deborah dan keluarga mereka iaitu J. DOUGLAS, DAINTON, M.R.C.S., L.R.C.P. Contoh keempat ialah perkataan ‘Edwardian House’ yang diterjemahkan sebagai rumah gaya zaman Edward. Ini merujuk seni bina rumah tersebut yang terdapat pada zaman pemerintahan King Edward IV. Contoh kelima ialah perkataan ‘burnt umber’ yang bermaksud warna coklat kemerahan. Sebenarnya dalam teks ini, perkataan ‘burnt umber’ merujuk kepada warna rambut Deborah. Jadi saya menterjemahkan kepada warna ‘coklat gelap’ supaya pembaca sasaran dapat memahami mesej sebenar dengan lebih mudah. Contoh keenam ialah perkataan ‘Crickey’. Perkataan ini sebenarnya merupakan slang yang digunakan dalam masyarakat Australia. Perkataan ini digunakan untuk menyatakan perasaan terkejut atau kagum terhadap sesuatu. Jadi saya menggunakan pendekatan terjemahan komunikatif dengan menggunakan kata seruan ‘Wow’ yang lebih dekat dengan jiwa pembaca sasaran. Masalah seterusnya ialah perkataan ‘Freud’. Sebenarnya ini merujuk kepada Sigmund Frued yang dikenali sebagai ‘bapa psikoanalisis’. Beliau terkenal dengan teori terhadap penindasan, fikiran bawah sedar dan nafsu. Saya mengambil pendekatan terjemahan deskriptif iaitu dengan menerangkan maksud di sebalik Freud itu supaya pembaca sasaran mendapat gambaran sebenar mengenai perkataan itu. Perkataan ini diterjemahkan sebagai ‘teori Freud’.


Dalam cerita ini turut mengandungi budaya orang Inggeris yang gemar atau menjadi kebiasaan bagi mereka mengungkapkan kata-kata sayang bagi menunjukkan kemesraan ataupun keakraban sesuatu perhubungan itu.

Contoh 1 :
ST : “ But so much longer, my dear, when you’re late”.
TT : “Tapi lebih lama sayang, apalagi bila kamu terlewat”.

Dalam ayat di atas, saya telah menterjemahkan ‘my dear’ menjadi ‘sayang’ kerana lebih sesuai dengan maksud sebenar ayat tersebut yang menunjukkan perbualan antara seorang ibu dengan anak perempuannya. Dalam perhubungan antara ibu dan anak, tidak salah sekiranya seorang ibu memanggil anaknya dengan gelaran yang manja atau mesra. Ini dapat menunjukkan sesuatu perhubungan itu akrab ataupun tidak.

Contoh 2:
ST : “Thank you, darling. I’d adore to come”.
TT : “Terima kasih, kakak. Saya pasti datang”.

Dalam ayat di atas, saya tidak menterjemahkan perkataan ‘darling’ menjadi ‘sayang’ sebaliknya menggunakan pendekatan fungsian iaitu ‘kakak’ yang lebih mementingkan fungsi atau mesej ayat itu sendiri dengan membolehkan saya untuk mengolah ayat sendiri. Ini dilakukan kerana dalam budaya pembaca sasaran, kita jarang menggunakan perkataan yang manja atau manis bagi memanggil atau menggelar adik-beradik dalam keluarga. Ayat ini menceritakan bahawa Deborah mengucapkan terima kasih kepada kakaknya kerana menjemputnya ke parti. Jika diterjemahkan kepada ‘Terima kasih, sayang. Saya pasti datang.” Ia kelihatan janggal dan tidak sesuai dengan budaya pembaca sasaran.


Selain itu, saya juga menghadapi masalah untuk menterjemahkan frasa. Contohnya dalam ayat berikut:
Contoh 1:
ST: When I got in, my father was spreading cheese on a Ryvita biscuit.
TT : Apabila aku masuk, ayah sedang menyapu keju pada biskut Ryvita.

‘Ryvita biscuit’ di sini merujuk kepada nama biskut itu dan bukan nama orang manakala perkataan ‘spreading’ ditukar menjadi ‘menyapu’ dan bukannya ‘menabur’ kerana dalam konteks ini, mungkin keju itu berbentuk krim, sebab itu kata kerja ‘spreading’ digunakan. Jika saya menterjemahkan kepada ‘menabur keju’ ia kelihatan janggal dan tidak tepat dengan makna sebenar ayat ini.

Contoh 2:
ST : “The only unmedical Dainton, eh? Thank God. I’m scared of women doctors.”
TT : “Awak seorang saja yang bukan doktor? Nasib baik. Saya takut dengan doktor perempuan.”

Masalah lain ialah menterjemahkan kata unmedical Dainton. Sebenarnya, ayat ini merujuk kepada Deborah, anak kedua dalam keluarga Dainton yang tidak terlibat dalam bidang perubatan, tidak seperti ibu, bapa, adik dan kakaknya. Jadi saya mengambil pendekatan terjemahan secara deskriptif iaitu menerangkan bahawa Dainton di sini merujuk nama bapanya dan keluarga mereka terlibat dalam bidang perubatan.


Selain itu, saya juga menghadapi ketidakpastian menterjemahkan perkataan ‘high-spirit’ yang sebenarnya bermaksud lincah.
Contoh :
ST : Maybe she was too high-spirited.
TT : Mungkin dia terlalu bersemangat tinggi.

Namun, dalam konteks ayat teks sumber, keseluruhan ayat ini bermaksud bahawa Sarah seorang yang sibuk dengan tugasnya dan tiada masa untuk memikirkan soal cinta kerana dia seorang yang bersemangat tinggi dalam hidup. Jadi, perkataan ‘high-spirit’ tidak sesuai diterjemahkan sebagai ‘lincah’ kerana maksud ayat akan terpesong sebaliknya ditukarkan menjadi ‘bersemangat tinggi.’


Masalah Teknikal
  • Antara masalah teknikal yang dihadapi semasa menghasilkan buku audio ini ialah saya dan ahli kumpulan terpaksa memikirkan cara yang paling menarik untuk persembahan sama ada dengan menggunakan perisian Window Media Maker ataupun Power Point. Hal ini disebabkan kedua-dua kaedah ini mempunyai perbezaan yang ketara di samping kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jika kami menggunakan Power Point, hasil persembahan akan kelihatan biasa sahaja dan tidak begitu menarik. Oleh sebab itu, kami bersepakat untuk menggunakan perisian Window Media Maker kerana hasilnya lebih menarik. Selain itu, kami turut memasukkan gambar yang berkaitan dengan bahagian yang diceritakan dalam buku audio dan elemen muzik latar belakang yang bersesuaian supaya pembaca sasaran lebih tertarik untuk membaca buku audio ini.
  • Masalah kedua yang dihadapi oleh kebanyakan daripada kami ialah faktor kekangan masa. Oleh sebab masa yang diperuntukkan bagi menghasilkan buku audio ini hanyalah 10 minit, jadi kami hanya dapat menghasilkan satu cerita dari satu bab sahaja.
  • Masalah yang ketiga ialah penyelarasan audio dengan teks. Ini merupakan masalah yang agak rumit kerana bukan mudah sebenarnya untuk memasukkan rakaman suara dengan sari kata yang telah dihasilkan. Hal ini kerana kami terpaksa menyesuaikan kelajuan rakaman suara dengan teks yang terdapat dalam buku audio supaya tidak begitu cepat dan tidak begitu perlahan. Selain itu, terdapat juga masalah jeda yang berlaku antara sambungan audio dengan teks.
  • Masalah keempat ialah warna tulisan yang terdapat pada buku audio kurang menyerlah. Saya dan ahli kumpulan berhadapan masalah ini semasa melakukan pembentangan kerana tulisan yang dipaparkan pada teks audio tidak dapat dilihat dengan jelas seperti yang tertera pada komputer. Sepatutnya warna yang sesuai digunakan ialah warna yang lebih cerah seperti warna putih dan kuning berbanding latar belakang gambar yang terdapat pada buku audio bagi menyelesaikan masalah ini.

Kesimpulan :
Sebagai kesimpulan, saya mendapat banyak pengalaman baru semasa menghasilkan buku audio ini kerana ini merupakan pengalaman pertama saya dan ternyata hasilnya amat memuaskan hati. Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan ahli kumpulan yang komited dengan kerja dalam menyiapkan buku audio ini. Pada pendapat saya, buku audio ini merupakan sesuatu yang baru di Malaysia kerana tidak begitu dikenali berbanding dengan negara Eropah dan sebagainya. Buku audio ini sangat bagus digunakan dalam pembelajaran kanak-kanak kerana ia menarik dan tidak membosankan berbanding buku cerita yang biasa terdapat dalam pasaran. Hai ini disebabkan pelbagai elemen dapat dimasukkan ke dalam buku audio seperti muzik, gambar dan suara yang menarik mengikut intonasi watak dalam sesuatu cerita tersebut. Oleh itu, penterjemah memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan dan memperkenalkan dengan meluas kepada masyarakat tentang kelebihan buku audio ini. Walaupun banyak usaha yang perlu dilakukan dalam menghasilkan buku audio ini termasuklah faktor masa dan kos, namun hasilnya sungguh menarik dan berbaloi dengan segala usaha yang dicurahkan.

Selain itu, saya berpendapat menghasilkan laporan dengan menggunakan wikispaces merupakan suatu kaedah yang menarik berbanding penghasilan laporan secara biasa. Hai ini akan lebih memudahkan saya kerana hanya perlu memuat naik fail laporan tersebut ke wikispaces sahaja dan ini sekali gus menjimatkan kos mencetak. Tambahan pula, kaedah ini merupakan sesuatu yang mengikuti perkembangan semasa dengan menggunakan kemudahan internet dan menggalakkan kelestarian kerana menjimatkan penggunaan kertas.